Tuesday, October 9, 2018

Fz was here, 10/2018

Entah apa sebab dan musabab, di mana salah dan silap, selepas 3 tahun berlalu, selepas beberapa kali percubaan kata laluan yang asyik salah, aku berjaya tembus dan singgah di medan blogspot ini sekali lagi. 

Jika hendak diselidik tentang punca dan tujuan aku ke mari, ke tempat peninggalan dan terasing ini, mungkin bermula dengan memories di facebook. Aku ternampak satu post ini yang ditujukan kepada aku oleh seorang yang aku tak pasti pada ketika ini nak gelar dia kawan atau tidak, tentang alamat url blog dia dan aku disuruhnya baca. Melihat post itu aku menjadi gatal jari untuk klik dan mengimbau semula zaman blogging pada satu masa dahulu. Tapi hidup ini tidak mudah ya tuan-tuan dan puan-puan, selepas aku klik, aku disuruh daftar masuk akaun blogspot dahulu. Termenung sebentar aku, berfikir lebih dalam dari biasa dan cuba mengingat kembali akaun itu. Berkat kismis minda yang aku pernah jamah pada zaman silam yang mana mungkin hari ini baru memberi kesan, aku berjaya ingat alamat e-mel. Halangan seterusnya, kata laluan. Aku fikir kali ini kismis minda pun tidak akan mampu untuk memberi pertolongan lagi. Enam kali percubaan yang gagal, aku mengalah jadi aku klik sahaja butang lupa kata laluan. Sebenarnya dari awal lagi aku boleh sahaja bertindak begini, tapi lelaki ini punya ego. Aku berjaya set semula kata laluan dengan lancar dan kali ini aku guna kata laluan yang aku rasa paling lit dan steady dan yang penting boleh ingat sampai tua. 

Selepas aku berjaya tembus ke dalam blogspot, aku jadi teruja untuk baca blog seorang yang sampai perenggan ini aku masih tak pasti nak gelar dia sebagai apa, oleh kerana dia yang post di facebook aku dan suruh aku baca blog dia, tapi seperti duri dalam daging, aku dapat notifikasi yang blog itu hanya untuk pembaca yang dijemput sahaja. Aku difahamkan dalam notis berbahasa inggeris itu, aku tidak dijemput dan aku disuruh untuk hubungi empunya blog supaya menjemput aku. Setelah berbagai kesusahan yang aku telah hadapi, inikah hasilnya? Jadi dengan sedikit perasaan marah ini aku isytihar dia tidak lagi termasuk orang yang aku gelar kawan. Mungkin aku akan gelar dia sebagai dia sahaja. 

Sudah alang-alang terlajak sampai ke kampung blogspot ini, aku ambil kesempatan untuk menziarahi rumah-rumah blogger yang lain untuk aku cuba segarkan memori lama. Ada rumah yang sudah dirobohkan juga. Mungkin sudah berpindah ke kampung lain atau ke bandar. Suasana di kampung blogspot ini masih sama, tenang dan damai. Aku jadi tertarik untuk barangkali mungkin kembali untuk tinggal di sini. Tak ramai orang buat aku lebih bebas dan aman di sini. Jadi aku bersihkan sedikit rumah lama aku ini ala kadar boleh duduk dan tidur. Paling tidak sebulan sekali aku akan balik ke sini lagi. Semoga tulisan entri ini boleh jadi ingatan yang aku tidak pernah lupa akan tempat asal. Sekian.

Thursday, March 5, 2015

Pengembara bukan penggembala


Saya baru sahaja menamatkan pengembaraan berupa percutian selama 9 hari kira2 seminggu yang lalu. Mengambil peluang cuti CNY yang panjang, saya telah mngusulkan idea kembara ini kepada seorang rakan yang lebih senior tentang selok belok berkembara. Untuk trip ini, saya bersama rakan saya saudara Dr. Farhan, yang saya kategorikan sebagai pengembara tegar dan sememangnya telah mempunyai banyak pengalaman sebagai pengembara. 

Pengembaraan kami bermula di KLIA2 ke Pulau Langkawi ke Perlis ke Hatyai ke Koh Lipe dan kemudian berpatah balik dari Hatyai ke KL. Laluan yang diambil adalah laluan biasa yang sering digunakan pengembara lain yang boleh didapati di internet dengan sedikit usaha. Yang ingin saya tulis di sini bukanlah tentang details pengembaraan kerana semuanya adalah lebih kurang sama jika dibandingkan dengan carian di internet kerana kami juga merancang melalui carian dan kajian blog2 travel juga. Tetapi pengisian ketika pengembaraan adalah sesuatu yang berbeza yang akan dialami oleh setiap pengembara.

Semasa mengembara, saya dapati yang saya boleh berfikir tentang banyak benda secara lebih rasional. Mungkin kerana keadaan santai percutiaan yang jauh dari tekanan kerja dan persekitaran yang asing yang kita tak perlu ambil peduli. 

Mengembara secara duo pada pendapat saya adalah paling ideal kerana bilangan 1 mungkin terlalu sunyi manakala 3 dan seterusnya menjadi beban. Jika berdua sikap toleransi lebih terbuka, kata sepakat lebih senang dicapai.

Secara keseluruhannya, pengembaraan pada kali ini yang mana pertama kali bagi saya sampai ke destinasi2 tersebut merupakan satu kejayaan peribadi yang akan menjadi memori indah untuk disimpan sebagai sebahagian daripada liku2 hidup.

Cerita2 semasa pengembaraan akan saya tulis pada entri yang seterusnya. Saya juga tidak berfikir untuk memuatkan gambar di sini, kerana semuanya sudah dimuatnaik di akaun Instagram.




Tuesday, February 10, 2015

hashtagdalam

"Kau sekarang dah kerja, dah ada kereta sendiri. Mesti best".

"Tak jugak. Kadang2 rasa bosan tak tau nak pergi mana. Duduk rumah je kalau cuti. Kawan pun tak ada". Jawab aku menerangkan situasi semasa. Sudah lama aku tak berbual dengan sahabat aku yang ini.

"Sekali sekala, kau pandu la kereta pergi masjid, berjemaah. Cari kawan, cari ilmu, cari Tuhan kat sana". Hanya senyuman dilemparkan tanpa mengulas panjang.

Dalam. Pipi bagai ditampar. Selama ni selalu mengadu bosan, tak tau nak buat apa masa cuti, tapi tak pernah fikir berapa kali aku pandu kereta ke masjid. Seminggu sekali untuk Solat Jumaat, ya. Selebihnya hanya di rumah atau di surau shopping complex
Betul lah, demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian. Tuhan bagi rezeki boleh beli kereta, 'add on' masa terluang bila cuti, susah sangat ke nak pergi berterima kasih pada Dia?

Bila tanya hobi, pandai cakap suka travel, tapi nak travel ke masjid yang jaraknya 10 minit pun malas. Kalau nak ke luar negara kita boleh rancang perjalanan sebulan awal, tak boleh ke rancang sebelum tidur nak ke masjid esoknya untuk berjemaah subuh?

“Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?” [Surah Ar-Rahman : 13]

Saturday, January 17, 2015

Dia Tulis



Pernah terfikir tak kalau semuanya dah dituliskan, jika sudah takdir, kenapa berusaha?

Bila sesuatu yang dibuat tidak berjaya, kita berkata sudah takdir begitu, terima sahaja.

Jadi mengikut logik akal cetek semuanya sudah ditetapkan, jadi kita hanya go with the flow. Tiada kebebasan untuk memilih atau freedom of choice in our life.

Kalian. Mari faham konsep takdir. Allah mempunyai pengetahuan ilmu ghaib, tentang masa hadapan. Sebelum kita melakukan sesuatu Dia sudah menulisnya. Sebagai contoh, anda mempunyai banyak pilihan blog atau site untuk dilayari, tapi anda memilih untuk membaca blog ini. Sebelum anda memilih untuk membaca blog ini, Allah telah tulis yang pada waktu sekian anda akan membaca blog 20 sen. Itu kuasa Allah. Tapi tidak bermakna anda tiada kebebasan untuk memilih.

Kenapa? Anda boleh memilih untuk membaca blog lain atau melayari facebook atau twitter, tapi anda yang pilih untuk berada di blog ini. Dan kerana Allah mempunyai pengetahuan tentang masa depan, Dia telah tulis sebelum anda pilih yang anda akan berada di sini.

Pilihan di tangan anda. Tapi Allah sudah tahu apa yang anda akan buat. Begitulah dikatakan takdir.


Nota: olahan dari ceramah Dr Zakir Naik perkongsian rakan di facebook.

Friday, January 16, 2015

Cuba Tanya



Biasanya pada pukul 1 tengah hari setiap Jumaat aku akan meminta staff di kaunter untuk tidak lagi mendaftar kes. Hanya selepas pukul 2. Peluang ini aku ambil untuk berjalan ke masjid yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kerja.

Sambil aku berjalan aku lihat ramai warga asing yang turut bergegas berjalan menuju arah dan jalan yang sama seperti aku. Cuma aku berjalan rentak santai manakala mereka seperti terburu-buru mengejar sesuatu.

Separuh jalan, aku melihat penjual nasi ambeng warga tempatan masih giat melayan pelanggan. Mereka tidak menunjukkan tanda-tanda seperti mahu bersama kami menuju arah yang sama. Seperti tidak mahu berganjak dari tapak gerai mereka.

Aku cuba bandingkan 2 golongan ini. Warga asing yang mengharapkan rezeki dari Tuhan dan warga tempatan yang mengharapkan rezeki dari pelanggan.

Sebenarnya, siapa yang beri rezeki?