Jika hendak diselidik tentang punca dan tujuan aku ke mari, ke tempat peninggalan dan terasing ini, mungkin bermula dengan memories di facebook. Aku ternampak satu post ini yang ditujukan kepada aku oleh seorang yang aku tak pasti pada ketika ini nak gelar dia kawan atau tidak, tentang alamat url blog dia dan aku disuruhnya baca. Melihat post itu aku menjadi gatal jari untuk klik dan mengimbau semula zaman blogging pada satu masa dahulu. Tapi hidup ini tidak mudah ya tuan-tuan dan puan-puan, selepas aku klik, aku disuruh daftar masuk akaun blogspot dahulu. Termenung sebentar aku, berfikir lebih dalam dari biasa dan cuba mengingat kembali akaun itu. Berkat kismis minda yang aku pernah jamah pada zaman silam yang mana mungkin hari ini baru memberi kesan, aku berjaya ingat alamat e-mel. Halangan seterusnya, kata laluan. Aku fikir kali ini kismis minda pun tidak akan mampu untuk memberi pertolongan lagi. Enam kali percubaan yang gagal, aku mengalah jadi aku klik sahaja butang lupa kata laluan. Sebenarnya dari awal lagi aku boleh sahaja bertindak begini, tapi lelaki ini punya ego. Aku berjaya set semula kata laluan dengan lancar dan kali ini aku guna kata laluan yang aku rasa paling lit dan steady dan yang penting boleh ingat sampai tua.
Selepas aku berjaya tembus ke dalam blogspot, aku jadi teruja untuk baca blog seorang yang sampai perenggan ini aku masih tak pasti nak gelar dia sebagai apa, oleh kerana dia yang post di facebook aku dan suruh aku baca blog dia, tapi seperti duri dalam daging, aku dapat notifikasi yang blog itu hanya untuk pembaca yang dijemput sahaja. Aku difahamkan dalam notis berbahasa inggeris itu, aku tidak dijemput dan aku disuruh untuk hubungi empunya blog supaya menjemput aku. Setelah berbagai kesusahan yang aku telah hadapi, inikah hasilnya? Jadi dengan sedikit perasaan marah ini aku isytihar dia tidak lagi termasuk orang yang aku gelar kawan. Mungkin aku akan gelar dia sebagai dia sahaja.
Sudah alang-alang terlajak sampai ke kampung blogspot ini, aku ambil kesempatan untuk menziarahi rumah-rumah blogger yang lain untuk aku cuba segarkan memori lama. Ada rumah yang sudah dirobohkan juga. Mungkin sudah berpindah ke kampung lain atau ke bandar. Suasana di kampung blogspot ini masih sama, tenang dan damai. Aku jadi tertarik untuk barangkali mungkin kembali untuk tinggal di sini. Tak ramai orang buat aku lebih bebas dan aman di sini. Jadi aku bersihkan sedikit rumah lama aku ini ala kadar boleh duduk dan tidur. Paling tidak sebulan sekali aku akan balik ke sini lagi. Semoga tulisan entri ini boleh jadi ingatan yang aku tidak pernah lupa akan tempat asal. Sekian.